TEL AVIV: Perdana Menteri Israel mengeluarkan amaran yang tegas kepada pasukan Hezbollah dari Lubnan agar jangan sesekali melakukan kesilapan dan menyebabkan tercetus satu lagi episod peperangan.

“Jangan membuat kesilapan dengan memasuki peperangan. Itu akan menjadi kesilapan sepanjang hidup anda... penglibatan anda dalam peperangan akan menentukan nasib Lubnan,” kata Benjamin Netanyahu dalam ucapan beliau yang disiarkan secara langsung di televisyen pada Sabtu.

Netanyahu memberikan peringatan itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah yang menegaskan, serangan Hezbollah ke atas Israel merupakan ‘sokongan tambahan’ kepada Hamas.

Menurut Hassan, Hezbollah akan menggunakan senjata dan menyerang sasaran baharu di Israel, serta berjanji bahawa pasukan penentang Israel akan "terus aktif."

Dalam perkembangan sama, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant yang berucap selepas Netanyahu turut sependapat dengan Perdana Menteri.

Gallant mengingatkan Lubnan bahawa tentera udara Israel sedang beroperasi di sempadan dua negara itu, manakala pasukan tentera darat sudah bersiap sedia dengan apa sahaja kemungkinan. 

“Rakyat Lubnan harus tahu apa jika ada kesilapan dilakukan oleh Hassan, maka nasib Beirut akan menjadi seperti Gaza,” tegas Gallant memberi amaran. - Agensi